Berita Utama

Tengku Zafrul umum pembinaan stesen ECRL Puncak Alam diluluskan

Pembinaan stesen ECRL lain akan diumum pada waktu sesuai

PUNCAK ALAM, 6 Zulkaedah 1443H, Isnin – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini, dan Alhamdulillah ianya telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Kuala Selangor di sini.

Beliau berkata bagi pembinaan stesen ECRL yang lain, pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai Daerah Angkat Kementerian Kewangan, bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata bagaimanapun semua kementerian serta agensi kerajaan akan terus memberi bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di negara ini termasuklah di Kuala Selangor.

Mengenai program lawatannya yang dikatakan selalu dibuat di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa beliau melakukan lawatan di pelbagai kawasan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di daerah itu sahaja.

“Apabila anda harus membuat sesuatu dasar, adalah penting untuk kita memahami keadaan di bawah, oleh kerana itu saya telah menjelajah ke seluruh pelusuk Malaysia dan isu yang paling utama sekarang adalah memastikan usaha pemulihan ekonomi terus bergerak di landasan yang telah ditetapkan,” katanya.

Ditanya adakah beliau mungkin bertanding di Kuala Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau berkata buat masa ini fokusnya adalah di Kementerian Kewangan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button