Veteran ATM anjur perhimpunan aman di Tugu Negara
Kemukakan 3 tuntutan utama termasuk selaras pencen

BANGI, 6 Zulkaedah 1443H, Isnin – Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 mengadakan perhimpunan aman menuntut supaya kerajaan menyelaraskan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, perhimpunan turut menuntut supaya diberikan pencen kepada anggota tidak berpencen bagi meringankan beban mereka yang tergolong dalam kategori B40.
Pengerusi Bersama dan Penasihat Undang-Undangnya, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar berkata, desakan bukan bermotifkan politik sebaliknya menuntut hak selain menggesa tidak terus mengetepikan veteran ATM.
“Penyelarasan pencen sebelum ini dibuat dua kali pada 2004 dan 2007 namun pada kali kedua itu ada yang dapat dan ada veteran ATM yang tidak menerima penyelarasan pencen itu.
“Paling ketara berlaku pada 2013 apabila tentera yang masih berkhidmat menerima kenaikan gaji 60 peratus sedangkan kami yang veteran hanya diberi kenaikan dua peratus.
“Jadi selepas 2014 apabila mereka bersara, pembayaran pencen dengan veteran sangat besar perbezaannya malah apa yang berlaku kini mereka yang bersara dengan leftenan kolonel dan ke bawah semuanya B40,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Perhimpunan yang berlangsung di Tugu Negara itu disertai kira-kira 500 orang veteran ATM.
Mereka mengemukakan tiga tuntutan iaitu penyelerasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan membuka ruang pengampunan supaya veteran ATM dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.
Mior Rosli menambah, pihaknya juga menuntut supaya golongan veteran tidak berpencen ini dapat menikmati pencen selepas ini.
“Selain itu, kita juga menuntut supaya bekas tentera yang diberhentikan atas kesalahan salah laku diberi pengampunan.
“Dalam tentera disiplin itu sangat penting dan saya tidak kata orang buat salah tidak boleh dihukum tetapi sehingga kini mereka ini (bekas tentera) tiada ada peluang untuk meminta pengampunan,” katanya.
Katanya lagi, apabila tidak mendapat pengampunan kesemuanya hilang meskipun ada yang tinggal setahun lagi dalam perkhidmatan sebelum berpencen.