Berita Utama

Lupakan dulu PRU15 tahun ini, fokus sosioekonomi rakyat

Pergolakan politik dalam dan luar negara wajar jadi iktibar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Tidak sewajarnya timbul gesaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan segera, kerana rakyat kini berdepan pelbagai kemelut dan krisis.

Apa yang lebih penting, kerajaan dan parti pembangkang perlu berganding bahu bagi memastikan rakyat mempunyai harapan yang cerah untuk menikmati keadaan sosioekonomi lebih stabil.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berpandangan, perkembangan ekonomi negara buat masa ini, selain krisis makanan, kenaikan harga barang dan wabak penyakit yang menular menunjukkan PRU15 tidak sesuai untuk dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau berkata, kepentingan politik seharusnya menjadi keutamaan selepas masalah sosioekonomi rakyat dapat diselesaikan.

Katanya, buat masa sekarang kerajaan dan parti politik di negara ini perlu berusaha memberi sokongan satu sama lain bagi membolehkan masalah yang membelenggu rakyat dapat ditangani.

“Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa satu parti itu mampu untuk memerintah dan membubarkan Parlimen sedangkan masalah-masalah negara ini masih belum dapat diselesaikan lagi.

“Terutama rakyat masih belum dalam keadaan sempurna dan mereka terbelenggu dengan masalah kehidupan seharian dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak sewajarnya mengambil iktibar daripada pergolakan politik yang berlaku sebelum ini di dalam dan luar negara.

“Misalnya apa yang berlaku di Sri Lanka harus menjadi iktibar bagaimana kita sepatutnya meningkatkan sekuriti keselamatan dan pemakanan.

“Justeru saya berharap semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi parti politik kita memberikan perhatian kepada masalah rakyat kerana mereka penentu kepada pembangunan dan masa depan negara,” katanya.

Baru-baru ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua ahli Barisan Nasional (BN) bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 yang dijangka tiba pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, bagi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, BN wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu dalam menghadapi PRU yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah dicapai mutakhir ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button