Berita Utama

Bekalan ubat di fasiliti kesihatan KKM mencukupi

Sentiasa pantau untuk memastikan stok ubat-ubatan di fasiliti mencukupi

SEPANG, 7 Zulkaedah 1443H, SelasaBekalan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada di hospital atau klinik kesihatan KKM adalah mencukupi dan tidak berlaku gangguan bekalan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Buat masa ini tiada masalah. Bekalan (ubat-ubatan) sentiasa mencukupi, kita sentiasa pantau untuk memastikan tahap stok ubat-ubatan di fasiliti kami mencukupi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal akibat permintaan tinggi selepas pandemik COVID-19 dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.

Khairy bagaimanapun berkata, situasi tersebut dilaporkan berlaku di fasiliti kesihatan swasta termasuk farmasi.

Menurutnya, antara maklum balas yang diterima KKM dalam sesi libat urus dengan pihak industri farmaseutikal pada 2 Jun lepas bagi mendapatkan gambaran mengenai bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport, adalah berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk merawat cirit-birit, demam, selesema, batuk, antibiotik dan vitamin C.

Khairy berkata, beliau telah mengarahkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi untuk bekerjasama dengan persatuan farmasi di Malaysia termasuk pengeluar ubat-ubatan untuk mencari bekalan alternatif sekiranya masalah kekurangan itu berterusan.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh untuk menyediakan perancangan serta strategi jangka sederhana dan panjang sebagai persiapan sekiranya masalah bekalan ubat-ubatan berlaku di fasiliti kesihatan KKM.

“Kami (KKM) perlu ada strategi (tangani kekurangan bekalan ubat-ubatan) sama ada cari sumber pasaran dari negara baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan agar bekalan tidak terjejas di masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy mahu pengarah dan ketua jabatan fasiliti kesihatan KKM untuk melaporkan segera sekiranya berlaku kekurangan tenaga kerja atau kekosongan jawatan di fasiliti masing-masing bagi mengelak berlaku bebanan tugas dalam kalangan pegawai perubatan sedia ada.

“Saya sendiri tidak puas hati kalau ada aduan berhubung situasi ini,” katanya mengulas luahan pengguna akaun Twitter yang mendakwa isterinya terpaksa bertugas secara ‘on call’ setiap hari, selama tiga bulan kerana rakan sekerja mengambil cuti bersalin.

Khairy berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan budaya buli di hospital KKM bagi mencari penyelesaian berhubung jadual kerja, etika kerja dan elaun ‘on call’.

“Kami bagi dua bulan kepada pasukan khas untuk keluarkan satu laporan menyeluruh. Sudah tiga minggu pasukan ini bekerja dan berbaki lagi lima minggu untuk siapkan laporan,” katanya.

Bagi melancarkan tugas pasukan khas itu, Khairy menggesa semua pegawai perubatan KKM untuk memberi maklum balas terhadap borang kaji selidik yang telah die-mel kepada mereka.

“Survey (kaji selidik) ini penting kerana terdapat soalan mendalam mengenai persekitaran kerja di KKM,” katanya serta menambah ketika ini seramai 40,000 pegawai perubatan KKM telah melengkapkan borang kaji selidik berkenaan.

Beliau menyasarkan 60,000 pegawai perubatan KKM untuk turut serta dalam kaji selidik itu bagi memastikan maklumat tepat dan menyeluruh diterima pasukan khas terbabit yang ditubuhkan bulan lepas. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button