Berita Utama

BN belum sedia hadapi PRU15, banyak perkara perlu dilakukan menangi hati rakyat

Fakta, data dan dana senjata utama, bukan sentimen serta emosi

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Saranan Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini seolah-olah menunjukkan BN belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN sebelum ini menyatakan BN harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran dan penampilan baharu.

BN mesti menerima hakikat bahawa jenama sahaja tidak akan memenangkan bahkan pengalaman memerintah sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak.

Katanya, BN harus tampil dengan imej yang revolusional dalam menghadapi PRU di samping menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral yang sinonim dengan parti itu selama ini.

Berikutan itu, Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, semua perkara disebutkan Mohamad memerlukan masa untuk dilaksanakan dan menunjukkan BN belum bersedia untuk menghadapi PRU15.

“Fakta, data dan dana adalah senjata utama untuk memenangi PRU15, bukan sentimen dan emosi. Perwakilan turut mengakui BN masih ketinggalan dari sudut fakta dan data apatah lagi dana.

“Hal ini mempunyai kaitan dengan ucapan Perdana Menteri – walaupun pada penilaian BN rakyat sudah kembali kepada BN, BN tidak boleh berasa selesa.

“Ini kerana masih banyak perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan PRU15,” katanya menulis di Berita Harian.

Justeru, beliau menyarankan pemimpin BN merenungi pepatah Melayu ‘dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk’.

“Dalam hal ini, pengalaman Najib yang ‘dengar cakap orang’ sehingga beliau dan BN ‘masuk lubuk’ kekalahan dalam PRU14 tidak berulang dan menimpa Ismail Sabri dan juga BN,” katanya.

Beliau merujuk kepada gesaan Datuk Seri Najib Razak supaya pemimpin tertinggi BN atau ‘top 5’ untuk berunding sebaik-baiknya bagi mengadakan PRU15 ketika pembangkang kini dalam keadaan cacamarba.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button