Desakan PRU15 tambah sengsara rakyat
Rakyat kini dihimpit kenaikan harga barangan keperluan

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Cadangan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) diadakan masa terdekat hanya memberi tekanan dan menambah derita rakyat yang dibelenggu pelbagai kekangan ketika ini.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, kini bukanlah masa untuk berebut kuasa politik sebaliknya perlu memberi keutamaan mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.
Justeru, beliau menggesa semua pihak menjadikan agenda memakmurkan negara dengan memaksimumkan usaha ke arah mengembalikan kesejahteraan negara.
“Rakyat kini sedang dihimpit oleh kenaikan harga barangan keperluan, kenaikan kos pengurusan dan kesukaran hidup.
“Adalah tidak wajar untuk menambahkan lagi kesengsaraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdullah turut menggesa semua wakil rakyat yang kini berada di tahun akhir sebelum tamat penggal PRU14 supaya berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat.
Beliau berpendirian untuk senada dengan saranan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar PRU15 tidak diadakan dalam masa terdekat susulan rakyat masih terbeban dengan keadaan ekonomi yang belum pulih.
Katanya, pengurusan pilihan raya pastinya memerlukan kos yang sangat tinggi menyebabkan ia tidak sesuai dilaksanakan pada masa kini.