Berita Utama

Ekonomi belum stabil tahun ini, sukar laksana PRU15

Beri mandat kepada rakyat untuk memilih selepas tumpukan pertumbuhan ekonomi

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Keadaan ekonomi yang masih tidak stabil sewajarnya menuntut kerajaan memberi perhatian sepenuhnya dalam mentadbir negara, terutama selepas negara beralih ke fasa peralihan endemik.

Justeru, persoalan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sering ‘dimainkan’ pihak tertentu tidak sepatutnya bangkit ketika ini jika benar ingin menyaksikan ekonomi negara kembali pulih dengan kadar segera.

Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, jelas buat masa ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRU15 berikutan pelbagai faktor termasuk kesan peperangan di Ukraine-Russia.

“Kalau nak tunggu ekonomi stabil tak mungkin akan berlaku dalam masa tahun ini kerana perang di Ukraine tak nampak kesudahannya.

“Begitu juga walaupun berada dalam fasa endemik, untuk membuka sepenuhnya begitu sukar sekali, sebab itu dikatakan tiada masa sesuai.

“Maka PRU lebih baik ditangguh supaya kerajaan dapat menumpukan perhatian terutama dalam pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, Azmi menyatakan kebimbangan apabila berlaku kekalutan dalam senario politik negara selain ugutan dalam kerajaan.

Situasi berkenaan, katanya, menuntut supaya PRU15 diadakan segera.

Katanya, paling penting adalah memberikan mandat kepada rakyat supaya dapat membuat keputusan terhadap bentuk kerajaan yang diimpikan.

“Sudah pasti mereka mahu kerajaan yang stabil, yang boleh mentadbir negara. Jadi biarkan mandat itu diberikan kepada rakyat sebaiknya supaya keputusan dapat dibuat, itu sebaik-baiknya,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Konvensyen 48 Tahun BN, gesaan telah dibuat supaya ‘Top Five UMNO’ membuat keputusan segera mengenai tarikh PRU-15, berserta ingatan supaya membuat keputusan tepat dan bijaksana, tidak memikirkan soal diri tetapi masa depan parti dan negara.

Kenyataan ini disambut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta perwakilan mahu PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat pada tahun ini supaya berdiri sebagai tanda menyokong.

kestabilan politik amat penting untuk ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022 berbanding dengan penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button