Berita UtamaDunia

Israel roboh perkampungan Badwi kali ke-202

Pasukan pendudukan terus provok penduduk kampung Arab

NEGEV, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Pasukan pendudukan negara pengganas Israel merobohkan perkampungan Arab Badwi al-Araqeeb di wilayah selatan Negev untuk kali ke-202.

Menurut penduduk, tentera Israel memaksa wanita dan kanak-kanak Palestin keluar dari rumah mereka dan terus memusnahkan harta benda serta tempat perlindungan yang dibina semula daripada perobohan sebelum ini.

Kampung itu dirobohkan sebanyak 14 kali pada tahun lalu.

Setiap kali penduduknya enggan meninggalkan kawasan berkenaan dan gigih membina semula rumah mereka.

Tindakan itu menegaskan bahawa mereka tidak akan meninggalkan tanah mereka.

Pasukan pendudukan meneruskan provokasi harian mereka terhadap penduduk kampung Arab, meletakkan sekatan ke atas kehidupan seharian mereka, melaksanakan serbuan setiap hari dan memusnahkan tanah dan rumah mereka.

Zochrot – sebuah NGO yang berpangkalan di Tel Aviv – menceritakan dalam laporan baru-baru ini bahawa al-Araqeeb pertama kali dibina pada zaman Uthmaniyyah, dan tanahnya dibeli oleh penduduk.

Kampung itu mula diratakan pada Julai 2010 dan setiap kali penduduk al-Araqeeb membina semula khemah dan rumah kecil mereka, pasukan pendudukan kembali untuk memusnahkannya kadang kali beberapa kali sebulan.

Terletak di padang pasir Negev (Naqab), kampung itu adalah salah satu daripada 51 kampung Arab ‘tidak diiktiraf’ di kawasan berkenaan.

Badwi di Negev mesti mematuhi undang-undang yang sama seperti warga Israel Yahudi.

Mereka membayar cukai tetapi tidak menikmati hak dan perkhidmatan yang sama seperti orang Yahudi di Israel.

Negara itu berulang kali enggan menghubungkan bandar-bandar ke grid nasional, bekalan air dan kemudahan penting lain.

Menurut Zochrot, pihak berkuasa negara haram Israel berusaha untuk merampas kawalan tanah dan mengusir penduduknya, dengan puluhan kampung dan masyarakat Badwi menghadapi ancaman yang sama di kawasan Negev. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button