Berita UtamaDunia

Kebakaran dahsyat depot kontena Bangladesh dapat dikawal

Pihak berkuasa syaki punca disebabkan bekas hidrogen peroksida

DHAKA, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Anggota bomba di Bangladesh berjaya mengawal kebakaran di sebuah depoh kontena, tiga hari selepas letupan yang meragut nyawa 41 orang.

Rakaman dron menunjukkan asap dan deretan kontena hangus akibat kebakaran dahsyat yang bermula pada Sabtu, mencetuskan letupan dan api marak di Sitakunda, 40 km (25 batu) dari bandar pelabuhan tenggara Chittagong.

Pihak berkuasa belum menentukan punca bencana, bagaimanapun mengesyaki bekas hidrogen peroksida adalah sumbernya.

“Api belum dipadamkan sepenuhnya tetapi tiada risiko letupan selanjutnya kerana pasukan kami telah menyusun bekas kimia itu.. satu demi satu,” kata pegawai kanan bomba, Monir Hossain kepada Reuters dari lokasi kejadian.

“Kami tidak menemui apa-apa langkah keselamatan kebakaran asas… Cuma ada beberapa alat pemadam. Tiada yang lain. Mereka tidak mengikut garis panduan penyimpanan bahan kimia berbahaya,” katanya.

Pengarah Depoh Kontena B.M. tidak menjawab panggilan telefon untuk mendapatkan komen.

Pada Isnin, Setiausaha Persatuan Depoh Kontena Pedalaman Bangladesh, Ruhul Amin Sikder berkata, ahlinya, termasuk Depoh Kontena BM kerap mengendalikan hidrogen peroksida tanpa sebarang insiden dan setakat yang beliau tahu, syarikat itu mengikut garis panduan.

Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan berkata, siasatan telah dilancarkan dan mereka yang bertanggungjawab akan berdepan keadilan.

Jumlah kematian yang disahkan 41 daripada 49 kerana pengiraan dua kali mangsa, kata polis.

“Sekurang-kurangnya sembilan anggota bomba adalah antara yang maut dan tiga hilang. Daripada 200 atau lebih yang cedera, 50 adalah pegawai penyelamat,” katanya.

Ketua doktor Chittagong, Mohammed Elias Hossain berkata, beberapa mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Tentera dikerahkan untuk cuba menghalang penyebaran bahan kimia ke dalam terusan dan di sepanjang pantai berdekatan, kata pegawai.

Kebakaran besar terakhir di Bangladesh adalah pada Julai tahun lalu apabila 54 orang terbunuh di sebuah kilang pemprosesan makanan di luar ibu negara, Dhaka.

Kebakaran paling mengerikan di Bangladesh ialah pada 2012, apabila kebakaran melanda sebuah kilang pakaian mengorbankan 112 pekerja. – Agensi

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/06/06/depoh-bangladesh-dituduh-tak-maklum-simpanan-stok-bahan-kimia/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button