Berita Utama

PAS gesa Muhyiddin terus terang hala tuju kerjasama politik dalam PRU15

Tak mahu diseret ke khemah besar jika ada DAP, PKR

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan bersikap jujur dan berterus-terang kepada PAS berkaitan hala tuju kerjasama politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sedik berkata, adalah tidak wajar untuk PAS diheret bawah ‘khemah besar’ atau kerjasama persefahaman pilihan raya antara Bersatu dan pembangkang sekiranya melibatkan hubungan dengan DAP dan PKR.

Tegasnya, kebanyakan akar umbi PAS langsung tidak boleh menerima kehadiran DAP dan PKR dalam mana-mana kerjasama politik, melainkan dengan parti Melayu Islam.

“Bagaimanapun jika membabitkan urusan Bersatu sahaja, itu terserahlah kepada mereka, saya fikir PAS tidak campur tangan.

“Ini hak parti tersebut untuk berunding dengan mana-mana pihak tetapi jangan sampai mengheret nama PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Menegaskan pendirian PAS, Kamarudin berkata, partinya lebih terbuka dan tidak ke tahap jumud dalam meneruskan hubungan politik berteraskan Melayu Islam jika melibatkan parti-parti Melayu seperti Pejuang.

Kelmarin, Muhyiddin mengakui pernah berjumpa dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) untuk merintis persefahaman bagi menghadapi PRU15.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjawab kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya menjadi Perdana Menteri semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button