Berita Utama

Pemandu mabuk sebabkan 2 maut direman 4 hari

Suspek punyai enam kesalahan babit lalu lintas

BANGI, 7 Zulkaedah 1443H, Selasa – Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) maut dalam nahas semalam direman empat hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Nabihah Mohd Noor, selepas menerima permohonan daripada polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap ungu dengan diiringi anggota polis tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira jam 9.50 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan [email protected] Zaki Omar berkata, semakan pihaknya mendapati pemandu terbabit yang juga pekerja kilang mempunyai enam kesalahan membabitkan lalu lintas.

“Selain itu kita juga masih menunggu laporan ujian alkohol dari hospital yang dijangka akan diperoleh dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka, dirempuh Perodua Myvi yang dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan isteri Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal Yamaha Ego maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa.

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/06/06/pasangan-suami-isteri-maut-dirempuh-pemandu-mabuk/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button