Berita Utama

Kes rasuah Guan Eng: Saya tak diajar tukar cerita, kata saksi

Pertuduhan kes terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 2 Muharam 1445H, Khamis – Seorang bekas naib presiden kanan sebuah syarikat hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, bahawa beliau tidak ‘diajar’ untuk menukar cerita berhubung pembayaran RM2 juta yang dikatakan telah diberi kepada Lim Guan Eng.

Azli Adam, 58, bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) menegaskan, tiada pihak yang mengajarnya untuk menjawab berhubung kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammed Mokhzani Faris Mokhtar, pada perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang, bernilai RM6.3 bilion.

Azli juga telah menjawab tidak, kepada soalan Mohammed Mokhzani sama ada antara 2018 dan 2020, ada mana-mana pegawai SPRM minta beliau untuk menukar ceritanya.

Ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim, saksi pendakwaan ke-28 itu berkata ketika beliau dipanggil SPRM di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya untuk siasatan, Zarul Ahmad yang ditahan reman, memberitahunya bahawa wang RM2 juta itu dibayar kepada Lim.

“Ketika perkara itu diberitahu, saya bersama Zarul Ahmad di dalam bilik siasatan SPRM yang terletak di tingkat bawah tanah,” katanya.

Ketika disarankan Gobind bahawa Zarul Ahmad telah menipunya dengan mengatakan RM2 juta diberikan kepada Lim, Azli berkata yang beliau tidak tahu.

Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa, beliau tidak pernah melihat atau nampak RM2 juta itu diserahkan kepada ahli perniagaan G. Gnanaraja, dan perkara itu hanya boleh disahkan oleh Zarul Ahmad.

Pada 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah RM19 juta, melibatkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Azli yang sebelum ini memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, ketika disoal seorang lagi TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini berkata, beliau hanya mengetahui wang RM2 juta diberikan kepada Gnanaraja ketika kes itu dibicarakan, dan tidak nampak sendiri wang tersebut.

Ketika ditanya Wan Shahruddin, Azli berkata yang beliau juga tidak nampak Zarul Ahmad memberikan wang RM2 juta kepada Gnanaraja untuk kes tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button