Berita Utama

Zuraida sedia lepas jawatan menteri

Belum terima jemputan untuk bertemu PM

KUALA LUMPUR, 6 Syaaban 1443H, Rabu – Datuk Zuraida Kamaruddin bersedia melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau beliau minta saya lepaskan, saya lepaskanlah,” katanya ketika menjawab soalan berikutan keputusan beliau meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pembiayaan Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia di sini hari ini.

Zuraida juga memaklumkan beliau kini dalam keadaan siap sedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.

“Beliau kata mahu jumpa saya minggu depan iaitu pada minggu ini, boleh jadi keseluruhan minggu ini tetapi saya dalam keadaan siap sedia,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Ismail Sabri hari ini.

Pada minggu lepas, Perdana Menteri mengesahkan masih belum bertemu Ahli Parlimen Ampang itu untuk membincangkan kedudukan beliau dalam Kabinet.

Ismail Sabri berkata, pertemuan itu belum diadakan memandangkan Zuraida masih bercuti selepas pulang dari lawatan kerjanya ke Turki dan Greece baru-baru ini.

Sementara itu, Zuraida ketika ditanya sama ada akan menghadiri mesyuarat Kabinet esok berkata, beliau masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.

“Seperti yang Perdana Menteri katakan, saya masih menteri, jadi sebab itu saya hadir untuk merasmikan program ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button