Berita Utama

Bon Odori: Tarik balik poster papar imej wanita bertudung

Elak kekeliruan, seperti usaha normalisasi babit umat Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Shah Alam mendesak penganjur Festival Bon Odori menarik balik poster yang memaparkan ilustrasi wanita bertudung bagi mempromosikan program berkenaan.

Yang Dipertua ISMA Shah Alam, Fakrur Radzi Mohd Omar berkata, tindakan itu perlu untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam terhadap festival yang jelas bercanggah dengan agama Islam.

Ini kerana, acara terbabit jelas tidak boleh dihadiri orang Islam, maka sebarang bentuk promosi seumpama itu dilihat seperti usaha menormalisasikan penglibatan orang Islam, katanya.

“Diharap pihak berkenaan menghormati Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan sebarang penyebaran ajaran bukan Islam tidak dibenarkan mengikut Perkara 11(4) dalam Perlembagaan.

“Diperincikan lagi mengikut Enakmen Negeri Selangor juga adalah menjadi kesalahan mendekati orang Islam mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.

Festival yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confusion ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Sehubungan itu, Fakrur Radzi mengingatkan semua umat Islam di negara ini untuk berhati-hati dan mengambil berat unsur-unsur berkenaan supaya tidak dipandang biasa dan normal, walaupun menghormati budaya serta anutan agama lain.

Beliau berkata, sabda Rasulullah ﷺ bahawa barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah daripada kalangan mereka.

“Maka, adalah difahami bahawa menyerupai orang kafir dalam perayaan mereka adalah dilarang. Hadis itu bertujuan untuk menjauhkan umat Islam daripada mengikuti apa jua perkara yang menjadi syiar khusus orang bukan Islam.

“Mengingati roh nenek moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya adalah larangan di dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah,” katanya.

Pautan berkaitan;

Bon Odori: Umat Islam jangan hadiri majlis puja roh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button