Berita Utama

Bon Odori: Umat Islam jangan hadiri majlis puja roh

Wanita ISMA gesa poster papar wanita hijab ditarik balik

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Umat Islam dinasihatkan supaya berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan, apatah lagi yang bercanggah dengan agama.

Justeru, tidak wajar untuk individu beragama Islam menghadiri sebarang majlis atau perayaan yang mempunyai unsur pemujaan roh seumpama Festival Bon Odori kerana jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Atas sebab itu, Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi mengingatkan umat Islam di negara ini supaya lebih berwaspada dan tidak mengikut perasaan dalam sesuatu tindakan.

Tegasnya, kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor jelas menunjukkan amalan memuja roh yang wujud dalam festival itu bertentangan dengan akidah Islam.

“Ini kerana festival berkenaan ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang, maka dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik.

“Sedangkan, di dalam Islam cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh agar dirahmati Allah SWT serta diampunkan segala dosa mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Serentak itu, Wanita ISMA menggesa umat Islam supaya tidak menghadiri Festival Bon Odori, selain mendesak poster festival yang memaparkan seorang wanita berhijab ditarik balik bagi mengelakkan salah faham kepada umat Islam.

“Umat Islam perlu berhati-hati dalam tindakan. Usah ikut rasa.

“Pastikan tindakan kita tidak bercanggah dengan Islam. Turutlah pandangan mereka yang lebih arif dan punya autoriti dalam bidang agama,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.

Festival yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confusion ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button