Berita Utama

Hina Nabi: Siasat jika pemimpin politik kita ada kaitan BJP

Ambil tindakan pada NGO cenderung pada ekstremis India

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Selain mengeluarkan kenyataan mengecam, kerajaan Malaysia turut digesa menyiasat dan mengenal pasti pemimpin politik serta masyarakat di negara ini yang mempunyai hubungan rapat dengan parti ekstremis India, Bharatiya Janata Party (BJP).

Bahkan, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mahu tindakan terus diambil terhadap mana-mana NGO yang ada kaitan atau cenderung kepada mana-mana kumpulan ekstremis India.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan harus mengkaji jumlah rakyat Malaysia atau segmen masyarakat mana yang sebenarnya menjadi simpatisan kepada ideologi kumpulan berkenaan.

“Islamofobia di Malaysia sedang meningkat dan sebenarnya menunggu masa sahaja untuk meletup menjadi lebih teruk.

“Lebih parah lagi jika Islamofobia tidak ditangani dengan tegas, apatah lagi kita hanya membiarkan ianya menular dari anasir-anasir luar seperti BJP yang meresap ke dalam masyarakat kita.

“Wahai kerajaan, tanganilah perkara ini secara strategik dan menyeluruh sebelum terlambat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk ucapan biadab dua ahli politik kanan BJP – parti pemerintah India – Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal terhadap Rasulullah ﷺ.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, umat Islam seluruh dunia kini sedang marah dengan kenyataan dua individu terbabit.

Beliau berkata, sejak BJP memerintah India, sudah banyak peristiwa yang membangkitkan kemarahan apabila umat Islam di negara itu teruk diserang dalam pelbagai bentuk.

“Ianya bukan kebetulan kerana serangan-serangan tersebut adalah dari galakan dan seruan pemimpin-pemimpin politik parti pemerintah tersebut.

“Sesiapa sahaja yang menghina Rasulullah sedemikian rupa, perlu dihukum tanpa kompromi. Alhamdulillah gerakan antarabangsa terhadap kenyataan ini sudah semakin memuncak,” katanya.

Terdahulu, parti BJP pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah ﷺ dalam debat televisyen, sementara Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button