Berita Utama

Hina Nabi: Ucapan biadab BJP sebar Islamofobia

Boleh cetus perseteruan antara agama, pergolakan negara

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya ucapan biadab dua ahli politik kanan parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) terhadap Rasulullah  ﷺ.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan ucapan melampau Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal sebagai tindakan yang menyeru kepada ekstremisme serta menyebarkan Islamofobia.

Atas dasar itu, beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyokong penuh pemecatan terhadap dua individu yang tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini boleh mencetuskan perseteruan antara agama dan pergolakan yang pastinya tidak baik buat kedua-dua negara.

“Umat Islam di India seringkali dizalimi kerana polisi-polisi yang berat sebelah, perkara-perkara sebegini sepatutnya tidak lagi berlaku pada era intelektual dan zaman di mana semua orang tahu kedamaian dan keharmonian antara agama lebih menguntungkan buat sesebuah negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, parti BJP pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah ﷺ dalam debat televisyen, sementara Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Serentak itu, Ahmad Marzuk menyeru umat Islam untuk bersatu menzahirkan bantahan terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

“Benar, Islam adalah agama kedamaian namun jangan sesekali hina nabi kami dan agama kami.

“Rasulullah SAW merupakan insan yang paling dicintai dan pemimpin umat Islam, maka wajib kita sebagai umat Islam mempertahankan baginda ketika baginda dihina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button