Berita Utama

Jais tak sekat festival Bon Odori

Sultan Selangor titah tak halang mana-mana individu hadir

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan untuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat festival Bon Odori dari terus dijalankan.

Malah, Jais juga dititah supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadiri perayaan Buddha Jepun yang dijadual diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai depan.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Sharafuddin tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan mengenai perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian serta penelitian yang mendalam.

“Baginda berpendirian banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.

“Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, untuk bersikap adil dalam membuat keputusan dan menentukan sesuatu kedudukan, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat serta kepercayaan yang pelbagai di Selangor, baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama.

Sehubungan itu, baginda menitahkan pegawai Jais dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis berkenaan bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.

Festival yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confusion ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button