Berita UtamaDunia

Jemaah dari Barat tak boleh tempah pakej haji melalui agensi

Peraturan baharu Arab Saudi, guna laman web untuk tempahan

RIYADH, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Jemaah dari negara Barat perlu memohon untuk menunaikan ibadah haji dan menempah penerbangan serta penginapan melalui laman web kerajaan Arab Saudi, bukannya melalui agensi pelancongan.

Peraturan baharu ini dibuat hanya beberapa minggu sebelum ibadah haji tahunan bermula.

Kementerian Haji Arab Saudi mengesahkan bahawa jemaah haji dari Eropah, Amerika dan Australia perlu memohon melalui laman web Motawifnya.

Mereka akan mengetahui sama ada telah mendapat tempat melalui ‘loteri automatik’ atau cabutan.

Kementerian tidak menyatakan bila cabutan dibuat tetapi menasihatkan bakal jemaah untuk meminta bayaran balik daripada pengusaha atau ejen pelancongan yang telah mengambil deposit.

Bakal jemaah haji kini perlu memohon tempat untuk menunaikan ibadah haji dan, setelah diluluskan, menempah penerbangan dan hotel secara terus dengan kerajaan Arab Saudi.

Agensi pelancongan bagaimanapun hairan dengan keputusan kerajaan itu.

“Kami telah menguruskan proses umrah dan haji selama bertahun-tahun, keputusan ini di luar jangkaan.. jbagaimana jemaah mahu uruskannya,” kata pengarah sebuah agensi haji di London, Yusuf.

Riyadh belum mengeluarkan harga pakej untuk jemaah haji antarabangsa, tetapi berkata, ia akan termasuk harga untuk penerbangan dan penginapan.

Masih tidak jelas apa yang mendorong Riyadh mengubah peraturan ketika sudah begitu hampir dengan permulaan musim haji.

Pada bulan April, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia akan membuka semula untuk melaksanakan ibadah haji tetapi hanya membenarkan sejuta jemaah yang divaksin tiga kali ganda dan mereka yang berumur di bawah 65 tahun.  

Pengumuman itu menyebabkan agensi pelancongan memulakan pakej pengiklanan yang berkisar antara $7,000 hingga $10,000.

Sistem baharu itu pula dibuat beberapa bulan selepas agensi pelancongan di Eropah, Amerika dan Australia dibiarkan dalam ‘kegelapan’ oleh Kementerian Haji di Arab Saudi dan tidak diberitahu jumlah tempat yang diperuntukkan kepada mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button