Berita Utama

Kes pemandu mabuk terus berlaku, desak PBT bekukan lesen arak

Gesa kebenaran penjualan runcit arak di kedai serbaneka ditarik semula

BANGI, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka Tengah mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan supaya terus membekukan dan tidak mengeluarkan sebarang lesen arak.

Desakan itu susulan insiden kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri kelainan upaya (OKU) dipercayai angkara pemandu mabuk di Jalan Serkam Pantai, Jasin, kelmarin. 

Yang Dipertua ISMA Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian pasangan terbabit, selain turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas musibah itu.

“ISMA Melaka Tengah ingin menegaskan kepada semua pihak agar sentiasa meletakkan maqasid syariah sebagai kerangka utama dalam membuat apa jua pertimbangan dan keputusan demi memastikan agar kekal selamat dan tenteram.

“Justeru, ISMA dengan penuh tanggungjawab ingin mendesak PBT di Melaka agar terus membekukan dan tidak mengeluarkan sebarang lesen arak di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya juga menggesa penjualan runcit arak sedia ada ditarik semula kebenarannya di kedai-kedai serbaneka yang berhampiran dengan kawasan majoriti muslim, institusi pendidikan, masjid dan surau, terutamanya di tempat yang telah mendapat bantahan orang ramai.

“Arak sudah terbukti merosakkan kesihatan, keluarga, masyarakat dan menyebabkan kemalangan jiwa yang berlarutan akibat pemandu mabuk.

“ISMA Melaka Tengah juga menggesa masyarakat awam untuk terus menyokong kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang dilancarkan di seluruh negara sejak Februari lepas,” katanya.

Pautan berkaitan;

Pemandu mabuk sebabkan 2 maut direman 4 hari

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button