Berita Utama

Mesyuarat Kabinet bincang mengenai dana 1MDB: Saksi

Anggap 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan

KUALA LUMPUR, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau beranggapan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan dana politik bagi Barisan Nasional (BN) kerana terdapat perbincangan antara Menteri Kabinet mengenai perkara itu.

Mohd Sidek, 71, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata terdapat perbincangan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang menteri digalakkan untuk mencadangkan bagaimana dana 1MDB boleh digunakan untuk membiayai projek di kawasan mereka.

Disoal Sri Ram bagaimana beliau boleh merumuskan bahawa dana 1MDB adalah untuk dana politik BN, Mohd Sidek menjawab, “kerana kesemua menteri (Kabinet) ketika itu ahli BN.”

Sri Ram: Bukankah mesyuarat Kabinet tidak seharusnya membincangkan mengenai parti politik?

Mohd Sidek: Saya adalah penjawat awam…. Polisi kerajaan adalah polisi parti memerintah, tidak kira parti BN atau apa sahaja namanya. Polisi kerajaan itu sendiri diperoleh daripada polisi parti, sekumpulan parti atau gabungan parti. Jadi, agak sukar untuk membezakan kedua-duanya.

Semalam, Mohd Sidek dalam keterangannya memaklumkan, mengikut pemahamannya 1MDB ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan ketika itu iaitu BN.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata oleh sebab itu, beliau tidak pernah bertanya kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pihak dalam 1MDB berkenaan masalah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Disoal lanjut oleh Sri Ram sekiranya Najib pernah mendedahkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai hubungannya dengan seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘Jho Low’, saksi itu menjawab, ‘saya tidak ingat’.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button