Berita Utama

Ukraine desak Israel jual Iron Dome

Pertahankan orang awam daripada pencerobohan Russia

TEL AVIV, 8 Zulkaedah 1443H, Rabu – Duta Ukraine menggesa negara haram Israel menjual sistem pemintasan roket Iron Dome dan menyediakan peluru berpandu antikereta kebal untuk mempertahankan orang awam daripada pencerobohan Russia.

Yevgen Korniychuk mahu kerajaan Israel menyokongnya secara lisan termasuk memberi bantuan ketenteraan. 

Pada sidang akhbar di Tel Aviv, beliau berkata, Ukraine mahu membeli sistem Iron Dome, dengan alasan Amerika Syarikat tidak akan menentang penjualan sedemikian.

AS telah menyokong kewangan Iron Dome Israel selama kira-kira sedekad, menyediakan kira-kira $1.6 bilion untuk pengeluaran dan penyelenggaraannya, menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres.  

Sistem ini direka untuk memintas dan memusnahkan roket jarak dekat yang ditembak ke Israel.

Korniychuk juga berkata, Israel minggu lalu menolak permintaan AS supaya Jerman menghantar peluru berpandu antikereta kebal ‘Spike’ berlesen Israel ke Ukraine.

Hakikatnya, Israel bimbang membantu Ukraine secara ketenteraan akan menyemarakkan Russia, yang mempunyai kehadiran tentera di negara jiran Syria.  

Israel, yang sering melakukan serangan ke atas sasaran musuh di Syria, bergantung pada Russia untuk penyelarasan keselamatan.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Israel tidak memberi sebarang komen. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button