Berita UtamaDunia

1.6 bilion orang berisiko terjejas kesan perang di Ukraine

Ancam kepada gelombang kebuluran, sosial dan ekonomi

NEW YORK, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menegaskan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine semakin teruk, dengan 1.6 bilion orang berisiko terjejas.

“Kesan perang terhadap keselamatan makanan, tenaga dan kewangan adalah sistemik, teruk dan semakin pantas,” katanya sambil membentangkan laporan kedua PBB mengenai kesan konflik itu.

Beliau berkata, bagi rakyat di seluruh dunia, perang mengancam untuk melepaskan gelombang kebuluran dan kemelaratan yang belum pernah terjadi sebelumnya, termasuk mencetuskan kekacauan sosial dan ekonomi.

Katanya, walaupun krisis makanan tahun ini adalah mengenai kekurangan akses, tahun depan kemungkinan ia mengenai kekurangan makanan.

“Hanya ada satu cara untuk menghentikannya, iaitu pencerobohan Russia ke atas Ukraine mesti ditamatkan,” katanya.

Beliau memaklumkan sudah meminta rakan sekerja untuk membantu mencari satu pakej perjanjian yang membolehkan eksport makanan keluaran Ukraine yang selamat dan terkawal melalui Laut Hitam, dan akses tanpa halangan ke pasaran global bagi makanan dan baja Russia.

“Perjanjian ini penting untuk ratusan juta rakyat di negara membangun, termasuk di sub-Sahara Afrika,” kata Guterres.

Laporan PBB, yang diketuai oleh diplomat Rebeca Grynspan mengatakan, dianggarkan 94 negara – yang menempatkan kira-kira 1.6 bilion penduduk – terdedah teruk kepada sekurang-kurangnya satu dimensi krisis dan tidak dapat diatasi.

“Daripada 1.6 bilion, 1.2 bilion atau tiga suku tinggal di negara yang berdepan krisis dan terdedah kepada ketiga-tiga dimensi kewangan, makanan dan tenaga secara serentak,” katanya.

Laporan itu mengatakan, perang mungkin meningkatkan jumlah pemakanan yang tidak selamat kepada 47 juta orang pada 2022, menjadikan ia 323 juta orang menjelang akhir tahun.

Dianggarkan sehingga 58 juta lagi rakyat Afrika mungkin jatuh miskin tahun ini, kata dokumen itu.

Menurut laporan itu, kemiskinan melampau di Timur Tengah dan Afrika Utara boleh meningkat sebanyak 2.8 juta orang pada 2022, manakala di Asia Selatan 500 juta orang berisiko.

“Usaha konkrit perlu dilakukan bagi memastikan bekalan makanan dan tenaga yang kritikal sampai kepada golongan yang paling terdedah,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button