Berita Utama

Hina Nabi: PEMBELA serah memorandum bantahan di kedutaan India esok

Jemput semua NGO, orang awam sertai himpunan sebagai tanda solidariti

BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Atas dasar menegakkan agama Islam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama Gerakan Pembela Ummah dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) akan menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ di kedutaan India, esok.

Serahan memorandum dijangka berlangsung selepas solat Jumaat di kedutaan India di Malaysia, Wisma HRIR Lotus, Jalan Pahang.

Selepas itu akan diadakan himpunan bantahan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Taman Setapak Indah Jaya, Kuala Lumpur – juga selepas solat Jumaat.

Atas dasar itu, PEMBELA mengajak semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk bersama-sama menyertai serahan dan himpunan sebagai tanda solidariti.

Penyerahan memorandum dibuat susulan ucapan biadab dua ahli politik kanan BJP – parti pemerintah India – Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal terhadap Rasulullah ﷺ.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Qatar juga menuntut permohonan maaf daripada kerajaan India berhubung kenyataan terbabit.

Jawatankuasa Parlimen Iraq dalam kenyataan pula menyebut, penghinaan anti-Islam mengundang kesan serius dan sekiranya tidak dikawal.

Kuwait, Qatar, Iran, Arab Saudi dan Pakistan adalah antara negara terawal mengemukakan bantahan rasmi terhadap kenyataan provokatif itu.

Timbul juga desakan dalam kalangan negara kaya di rantau Teluk Arab supaya memboikot produk keluaran India.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/06/08/hina-nabi-siasat-jika-pemimpin-politik-kita-ada-kaitan-bjp/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button