Berita Utama

Amran dilantik KSU Kementerian Luar baharu

Pelantikan berdasarkan kelayakan dan pengalaman

PUTRAJAYA, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Datuk Amran Mohamed Zin dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Amran yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar menggantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 31 Mei lepas.

Mohd Zuki berkata pelantikan Amran, 55, adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam bidang hubungan antarabangsa dan hal ehwal luar negeri menerusi karier perkhidmatannya.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, beliau mampu merealisasikan misi kementerian dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar luar negara serta memajukan dan melindungi kepentingan Malaysia melalui diplomasi yang dinamik dan proaktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran yang telah berkhidmat lebih 27 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah berkhidmat sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dan Duta Besar ke Turki.

Sementara itu, Mohd Zuki turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Muhammad Shahrul atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara sepanjang tempoh perkhidmatannya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button