Berita Utama

Kedai serbaneka Southville City terima memorandum bantah jual arak

Tak wajar jual minuman keras secara terbuka di kawasan muslim

BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak terus diperluaskan melalui penyerahan memorandum bantahan penjualan minuman keras di plaza Southville City menerusi gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang.

Bantahan itu membabitkan tiga premis kedai serbaneka yang dijual secara terbuka, selain terdapat arak diletakkan di atas rak biasa tanpa label minuman keras.

Penyerahan memorandum berkenaan turut disertai Surau Al-Hidayah Southville City.

Memorandum bantahan itu diserahkan Yang Dipertuan ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan kepada pengurus dan jurujual premis berkenaan.

Ustaz Ibrahim berkata, penyerahan bantahan itu bagi menyelamatkan pekerja muslim yang terpaksa menyusun dan menjual arak, walaupun ia ditegah oleh Islam serta menjadi kesalahan di bawah Enakmen Syariah Negeri Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hidayah Southville, Ustaz Fauzi berkata, tidak wajar arak dijual secara terbuka di kawasan itu kerana 98 peratus penduduk tempatan adalah di kalangan Melayu muslim.

Melalui respons yang diterima daripada pekerja premis berkenaan – kesemuanya beragama Islam – mereka memahami tuntutan agama Islam, namun terpaksa menjual kerana tiada pekerja bukan muslim.

Difahamkan, ISMA Sepang akan terus memantu penjualan arak di premis itu dan memberikan tempoh 21 hari sebelum tindakan seterusnya diambil.

Kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ dilancarkan pada Februari lalu oleh ISMA bersama Yayasan Maghfirah, di mana bukan hanya menyasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Kempen itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Kempen itu antaranya menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

Setakat jam 3 petang tadi, petisyen yang dilancarkan menerusi laman change.org berjaya mengumpulkan 16,793 tanda tangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button