Kurangkan kebergantungan produk import cara bantu ekonomi stabil
Pemulihan ekonomi belum stabil antaranya kerana faktor krisis global

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Malaysia perlu mempunyai keupayaan mengeluarkan produk sendiri atau tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, keadaan ini penting untuk merancakkan lagi ekonomi negara yang masih tidak stabil berikutan beberapa faktor.
“Dalam situasi ini kita perlu kembali kepada pertanian untuk memantapkan keperluan tempatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada produk luaran.
“Ia akan berjaya sekiranya kerajaan dengan pelbagai agensi bekerjasama secara serius,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas mengenai pemulihan ekonomi negara selepas memasuki fasa endemik COVID-19, beliau berkata, situasi belum stabil sepenuhnya namun tidak mustahil ia boleh menjunam secara-tiba-tiba.
“Semua ini disebabkan beberapa faktor termasuk peperangan Ukraine, krisis global selain kesan daripada harga meningkat,” katanya.
Justeru, kerajaan perlu merangka pelan perancangan segera supaya keadaan ekonomi negara terus stabil dan rakyat dapat menikmati manfaatnya.