Berita Utama

Mayat bayi bersama batu ditemukan dalam bagasi

Pasangan kekasih yang menjumpai beg terapung di permukaan laut

TAWAU, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat bersama seketul batu seberat 1.2 kilogram ditemukan dalam sebuah bagasi di tepi laut Tanjung Batu Logpond, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat berkenaan pada 4.43 petang.

“Sepasang kekasih yang menjumpai sebuah beg berwarna merah jambu terapung di permukaan laut berhampiran jeti di kawasan terbabit telah membuka beg itu dan terkejut melihat keadaan bayi itu yang dipercayai sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pegawai perubatan kemudian mengesahkan bayi perempuan itu seberat kira-kira satu kilogram dan panjang kira-kira 36 sentimeter.

Menurutnya pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seketul batu dibalut dengan kain batik diletak dalam bagasi bersama bayi itu dipercayai untuk menenggelamkan beg.

“Siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit kerana boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau di talian 089-752 222 atau mana-mana balai polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button