Berita Utama

Perintah berkurung di perairan 7 daerah ESSZone dilanjut

Babit Tawau, Semporna, Kunak, Sandakan, Kinabatangan dan Beluran

LAHAD DATU, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan sehingga 24 Jun ini. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah dari 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, perintah itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendapati kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan ini untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya.

Idris berkata, perintah itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, semua Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan dikenakan perintah berkurung itu.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button