Berita Utama

Sektor pembinaan diramal tak stabil jika PRU15 separuh masa kedua 2022

'Jika kerajaan kekalkan polisi, syarikat dalam sektor boleh teruskan projek masa hadapan seperti biasa’

BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pasaran bagi sektor pembinaan dijangka semakin tidak stabil terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) – sekiranya diadakan pada separuh masa kedua 2022.

Bagaimanapun, RHB Investment Bank Berhad menjangkakan keadaan akan menjadi seperti biasa selepas tempoh berkenaan.

Katanya, jika kerajaan akan datang mengekalkan polisi sedia ada, syarikat dalam sektor itu boleh meneruskan projek masa hadapan seperti biasa.

“Senario negatif mungkin berlaku sekiranya Parlimen tergantung tanpa sebarang keputusan kerana ia akan mencetuskan ketidakpastian bagi projek sektor awam yang akan diteruskan,” katanya dalam nota kajian, hari ini.

Firma itu berkata, ruang utama fiskal kerajaaan yang terhad dicerminkan dalam hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 62.4 peratus pada April 2022.

Bagaimanapun firma berkenaan juga tidak menolak kemungkinan projek infrastruktur awam masa hadapan mungkin memerlukan lebih banyak penyertaan syarikat-syarikat swasta yang dilihat memberi manfaat kepada kontraktor yang memiliki kunci kira-kira yang stabil.

“Terdapat risiko penyertaan sektor swasta yang rendah sekiranya dana yang disediakan dihadkan sekiranya mereka menerima lebih banyak projek,” katanya.

Firma itu berkata, pendapatan bagi segmen pembinaan untuk sesetengah syarikat tidak menunjukkan peningkatan pada suku pertama tahun 2022 akibat tekanan daripada kenaikan bahan mentah.

Malah, harga keluli mencatatkan kenaikan sebanyak 16 peratus manakala harga simen meningkat sebanyak 40 peratus pada separuh pertama 2022.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button