Berita Utama

Sistem cukai paling sesuai masih dikaji termasuk GST

Kerajaan cadang tambah baik subsidi melalui pendekatan bersasar

BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Tidak mungkin sistem percukaian baharu termasuk pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebarang sistem percukaian baharu perlu diluluskan di Parlimen, apatah lagi apabila mengambil kira keperluan untuk libat urus bersama rakyat dan menambah baik sistem sedia ada.

Beliau berkata, sebenarnya kerajaan masih mengkaji sistem percukaian yang paling sesuai termasuklah GST.

“GST kini digunapakai oleh hampir 90 peratus negara di seluruh dunia.

“Sekiranya sistem ini kurang baik, tidak mungkin sistem cukai ini menjadi pilihan begitu banyak negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung isu GST dan subsidi termasuk daripada pihak media.

“Ada juga yang tanya isu subsidi, terutamanya kerana pada masa ini lebih 50 peratus daripada subsidi bahan api dinikmati oleh golongan T20.

“Ini bermakna daripada RM30 bilion subsidi bahan api, lebih RM15 bilion dimanfaatkan oleh golongan T20,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memang bercadang untuk menambah baik pemberian subsidi melalui pendekatan yang lebih bersasar.

“Ini sudah tentu akan lebih memanfaatkan golongan yang mudah terjejas,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan kemungkinan GST dilaksanakan semula selepas dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Malaysia beralih kepada GST ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, dengan kadar enam peratus yang dikritik pembangkang serta kumpulan pengguna.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button