Berita Utama

Tak perlu mesyuarat khas Parlimen bentang RUU Anti Lompat Parti

Kos sidang khas terlalu tinggi dengan anggaran RM1,077,600

BANGI 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beberapa faktor telah dipertimbangkan ketika sesi perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk untuk penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat khas Parlimen bagi kedua-dua dewan.

“Pada keseluruhannya, jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika mesyuarat khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan.

“Selain itu, penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai bagi mengikuti program-program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan lain-lain pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

RUU berkenaan akan dibahas dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 bermula 18 Julai ini sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaan RUU berkenaan.

“Pembentangan berkenaan nanti akan memberi masa yang mencukupi untuk RUU tersebut diteliti oleh ahli Parlimen sebelum dibahas,” katanya.

Malah, Wan Junaidi memaklumkan, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang RUU tersebut akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang telah disediakan.

Katanya, penyata berkenaan akan dibentangkan semasa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button