Dunia

WHO terima lebih 1,000 laporan kes cacar monyet

Risiko penularan wabak kini meluas ke negara bukan endemik

GENEVA, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Lebih 1,000 kes cacar monyet dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan penularan meluas di banyak negara.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, risiko wabak cacar monyet kini meluas di negara bukan endemik, namun memberi jaminan penularannya masih boleh ditangani.

29 negara telah melaporkan kes dalam wabak semasa, yang bermula pada Mei lalu. 

Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan.

Pada taklimat media di Geneva, Tedros berkata, terdapat lebih 1,400 kes disyaki cacar monyet di Afrika dan 66 kematian pada tahun ini.

“Ia adalah gambaran malang dunia bahawa masyarakat antarabangsa hanya memberi perhatian kepada cacar monyet ekoran ia muncul di negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, wabak itu menunjukkan tanda penularan komuniti di bebarapa negara dan menyarankan individu yang dijangkiti untuk mengasingkan diri di rumah.

Menurut WHO, kes direkodkan kebanyakannya masih dalam kalangan lelaki yang terbabit dengan hubungan sejenis, meskipun terdapat kes dalam kalangan wanita dilaporkan.

Susulan itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bekerjasama dengan organisasi termasuk AIDS PBB dan kumpulan komuniti untuk meningkatkan kesedaran serta usaha menghentikan penularan.

WHO berkata, langkah vaksinasi selepas terdedah jangkitan termasuk untuk pekerja kesihatan, kenalan rapat atau pasangan seksual – dalam tempoh empat hari – boleh dipertimbangkan kepada sesetengah negara.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button