Dunia

COVID-19: Penyelidik Jepun cipta pelitup muka guna antibodi burung unta

Dakwa bercahaya di bawah ultraviolet jika pemakai dijangkiti

TOKYO, 6 Jamadilawal 1443H, Sabtu – Penyelidik Jepun membangunkan pelitup muka menggunakan antibodi burung unta yang didakwa boleh mengesan wabak COVID-19. 

Penemuan oleh penyelidik Universiti Prefektur Kyoto, Yasuhiro Tsukamoto dan pasukannya itu mendakwa pelitup muka berkenaan akan bercahaya di bawah sinaran ultraviolet.

Kumpulan penyelidik itu mula mencipta penapis topeng yang disalut dengan antibodi burung unta bagi menyasarkan wabak coronavirus, berdasarkan penyelidikan terdahulu yang menunjukkan haiwan berkenaan mempunyai daya tahan kuat terhadap penyakit.

Dalam kajian kecil itu, subjek ujian memakai pelitup muka dan selepas lapan jam, penapis dikeluarkan serta disembur dengan bahan kimia yang bersinar di bawah cahaya ultraviolet jika terdapat virus.

Penapis yang dipakai oleh individu dijangkiti COVID-19 akan bersinar di sekitar kawasan hidung dan mulut.

Pasukan penyelidik itu berkata, mereka dalam usaha mengembangkan lagi pelitup muka itu supaya ia bersinar secara automatik tanpa pencahayaan khas, jika virus dikesan.

Tsukamoto yang juga profesor veterinar dan presiden universiti berkata, beliau telah mengkaji burung unta selama bertahun-tahun, dan mengesan cara untuk menyesuaikan kekuatan imuniti haiwan itu dalam melawan selsema burung, alahan serta penyakit lain.

Katanya, beliau mendapati dirinya positif COVID-19 selepas memakai salah satu pelitup muka khas itu yang dikesan bersinar apabila diperiksa. 

Tsukamoto mendakwa, diagnosis itu disahkan selepas ujian standard dilakukan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button