Berita UtamaIstimewa

Hina Nabi: Siasat jika individu negara ini ada kaitan BJP

Tindakan biadab dua ahli politik India langgar garis merah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Parti BERJASA mendesak kerajaan segera meminta penjelasan tuntas dari India berhubung tindakan melampau jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad ﷺ.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, tindakan biadab itu melanggar garis merah, walhal telah diketahui provokasi dan penghinaan berkenaan bakal menguji sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

“Kita melihat isu penghinaan Nabi Muhammad ﷺ adalah rentetan kemenangan Parti BJP yang kini memerintah India.

“Ini susulan kemenangan parti yang terkenal dengan identiti ekstremis agama ini memberikan tekanan yang kuat ke atas minoriti Islam di India yang membawa kepada penindasan dan kekejaman terhadap rakyat India beragama Islam.

“Kalau dulu mereka mempertikai budaya dan kehidupan beragama, kini bertukar kepada usaha hegemoni, pembantaian dan penghapusan identiti Islam di India,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Serentak itu, Ustaz Fahmi menggesa Malaysia memberi penegasan supaya insiden seperti ini tidak lagi berulang, selain mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat mana-mana individu dalam negara yang mempunyai hubung kait dengan parti itu.

Jelasnya, langkah berkenaan amat penting agar pengaruh Parti BJP dan agendanya tidak tersebar dalam negara.

“Tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati terkait secara langsung.

“Tidak mustahil pendirian menghina Nabi Muhammad boleh berlaku di Malaysia. Bahkan penghinaan terhadap Islam dan Kalimah Allah sebelum ini disokong oleh pengaruh yang sama,” katanya.

BJP dan India teruk dikecam masyarakat dunia susulan tindakan dua ahli politiknya, Nupur Sharma dan Naveen Jindal yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah ﷺ dalam debat televisyen serta atas komen di media sosial.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button