Berita UtamaDunia

Penjajah Israel bina semula pos haram di kampung Palestin

Dipercayai sebagai persediaan perluaskan penempatan baharu

NABLUS, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Tanpa segan silu, penduduk haram Israel membina semula sebuah pos penempatan di perkampungan Palestin di al-Lubban Ash-Sharqiya dekat Nablus, Tebing Barat yang diduduki.

Menurut penduduk tempatan, kumpulan peneroka pelampau menyerbu kejiranan al-Jneina, yang terletak di pinggir kampung untuk menubuhkan pos luar, sebagai persediaan bagi membina penempatan baharu di kawasan berkenaan.

Kampung itu sering menjadi sasaran serangan peneroka haram.

Puluhan peneroka dan tentera Israel sering menyerbu kampung dan menghalang pelajar daripada sampai ke sekolah mereka.

Keluarga Palestin di Lubban Sharqiya menghantar anak mereka ke sekolah berhampiran Road 60 dan terdedah kepada serangan peneroka serta pihak keselamatan rejim Zionis selama beberapa tahun.

Hampir 3,000 rakyat Palestin tinggal di al-Lubban Al-Sharqiya, yang terletak di jalan utama – menghubungkan beberapa bandar dan kampung Palestin ke bandar Nablus di utara.

Lebih 700,000 peneroka haram Israel tinggal di penempatan penjajah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, kata Wafa.

Semua penempatan itu dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Keganasan peneroka Yahudi semakin meningkat sejak tahun lalu, namun kerajaan Israel tidak banyak bertindak bagi menghalang atau menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Pakar percaya bahawa peningkatan keganasan peneroka tanpa hukuman adalah antara punca di sebalik siri serangan maut yang berterusan di Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button