Berita Utama

Bon Odori: Alasan budaya Jepun tak cukup merit dipertimbang

PAS gesa umat Islam tak sertai festival ada unsur ritual agama Buddha

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan Festival Bon Odori berkait dengan kebudayaan Jepun, namun ia tidak sesekali mengetepikan pandangan bahawa program itu mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

Atas dasar itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa umat Islam supaya tidak menyertai festival yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahya berkata, prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

“Semua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah.

“Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengesyorkan semua pihak mengikuti langkah kerajaan negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 Mei lalu.

Ahmad berkata, langkah itu setelah dikenalpasti persembahan berkenaan mempunyai unsur keagamaan yang boleh merosakkan akidah.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival berkenaan.

“Nasihat yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama tersebut jelas berpandukan maslahah orang ramai.

“Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain. Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button