Berita Utama

Hina Nabi: Jakim kutuk ucapan biadab dua ahli politik India

Tindakan melampau mampu cetus pergolakan panjang: Khutbah

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tidak beradab dua ahli politik India yang menghina Nabi Muhammad ﷺ.

Tindakan itu seiring dengan kenyataan dikeluarkan Wisma Putra serta ketegasan yang ditunjukkan oleh negara seperti Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Jordan, Iraq, Maldives, Bahrain dan Turki.

Jakim menerusi khutbah Jumaat menyifatkan, tindakan melampau ini sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mampu mencetuskan perseteruan antara agama di seluruh dunia serta mencetuskan pergolakan yang berpanjangan.

“Dunia sekali lagi digemparkan dengan kenyataan tidak beradab dari ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang menghina agama Islam dan menghina Nabi Muhammad ﷺ dalam sebuah rancangan televisyen.

“Sebagai mukmin, kita wajib mempertahankan Rasulullah ﷺ dalam dalam apa jua keadaan,” katanya.

Dalam ketegasan mempertahankan Rasulullah ﷺ, khatib juga mengingatkan seluruh umat Islam di negara ini supaya tidak bertindak menurut emosi dan hawa nafsu semata-mata.

“Sebagai umat Islam, sebarang tindakan perlu berlandaskan intelektual, rasional dan kewarasan akal di samping emosi yang terkawal.

“Tidak elok jika kita juga turut menghina agama lain kerana ia juga termaktub salah satu perintah Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran,” katanya.

Terdahulu, parti BJP menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina Islam dan Rasulullah ﷺ dalam debat televisyen, sementara Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Pautan terdahulu;

Hina Nabi: Ucapan biadab BJP sebar Islamofobia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button