Berita Utama

Mansuh hukuman mati mandatori tanda negara perkukuh fahaman liberalisme?

Asakan kepada perubahan rujukan mengikut versi Barat semakin kuat: Ustaz Fauzi

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah membuktikan negara semakin teguh merujuk kepada hak asasi manusia versi Barat, sekali gus mengukuhkan faham liberalisme dalam amalan bernegara.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, pemansuhan berkenaan adalah bibit-bibit perubahan rujukan.

“Dalam sejarah negara yang panjang, hukuman mati terhadap beberapa kesalahan jenayah tertentu adalah suatu yang merujuk kepada cara fikir dan sudut pandang negara terhadap jenayah.

“Ia lahir dari rujukan yang dirujuk negara dalam menggubal undang-undang.

“Apabila tidak ada lagi jenayah yang dijatuhkan hukuman mati, maknanya cara negara kita memandang jenayah itu sudah berubah, sekali gus menunjukkan rujukan itu juga sudah berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan yang bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah, hari ini.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan apakah yang akan dirujuk untuk menggubal undang-undang negara selepas ini.

“Adakah yang akan dirujuk adalah asas kenegaraan yang terpahat dalam lipatan sejarah sebelum ini; Melayu, Islam, Raja? atau rujukan asas ini mula bertukar arah ke rujukan lain?,” soalnya.

Malah, Ustaz Fauzi berpandangan, Orde Baru Dunia yang diasaskan oleh Barat selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua melalui Piagam Atlantik, penubuhan PBB, kemunculan negara haram Israel, Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 dan sebagainya memaksa kepada dunia sebagai satu rujukan baharu dalam segala perkara termasuk undang-undang.

Malangnya yang turut dipaksakan berpaksi kepadanya adalah negara-negara umat Islam seperti Malaysia.

Katanya lagi, walaupun umat Islam memperkenalkan Deklarasi Hak Asasi Manusia Kaherah sebagai alternatif, tetapi arus dan tekanan dari Barat terus kuat.

“Perkembangan terakhir yang menunjukkan cubaan sebahagian pihak memaksakan ‘basic structure’ kepada Perlembagaan mengikut versi Barat.

“… dan beberapa keputusan mahkamah terhadap beberapa kes terkini (Sister in Islam, anak-anak Loh dan lain-lain) menunjukkan bahawa asakan kepada perubahan rujukan ini semakin kuat,” katanya.

Sedangkan, katanya, hukuman mati kepada beberapa jenayah ada dalam hukum Islam dan dalam adat amalan orang Melayu.

Sebaliknya, tiada hukuman mati pula adalah cara fikir Barat yang kononnya merasakan bahawa membunuh penjenayah adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Yang boleh dibunuh dalam cara fikir Barat adalah umat Islam Palestin atau Syria atau Iraq atau Rohingya… bukan penjenayah,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya semua pihak untuk sama-sama melihat perkembangan tersebut.

“Petunjuknya menuju ke arah itu. Antara tanda ‘kematangan’ faham liberalisme adalah apabila penjenayah mendapat hak lebih dari mangsa jenayah itu sendiri.

Katanya, sekiranya benar itulah arahnya, kita sebagai umat Islam wajib memastikan negara kembali kepada rujukan asalnya; Melayu Islam Raja.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button