Berita Utama

TM didakwa tindas kontraktor dengan tawaran harga tak munasabah

Kerajaan digesa masuk campur bela nasib usahawan Bumiputera

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kerajaan disaran masuk campur dalam pembelaan nasib kontraktor dan usahawan Bumiputera yang kini semakin terhimpit dengan penindasan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Gesaan berkenaan disuarakan Persatuan Kontraktor Telekomunikasi Malaysia (PKTM) yang mendakwa ditindas oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) yang tidak mengambil berat mengenai ketidakpuasan hati pihak kontraktor.

Presiden PKTM, Datuk Zakaria Husain berkata, sebagai rakan perniagaan TM, ahli persatuan sejak sekian lama telah memberikan kerjasama baik dalam melaksanakan kerja yang diagihkan.

Namun, sejak 6 tahun kebelakangan ini, pihak kontraktor mula merasakan terdapatnya penindasan daripada segi perniagaan, terutama sekali tawaran harga yang tidak mengikut perkiraan munasabah sesuai dengan keperluan perlaksanaan dan pengurusan projek-projek yang diagihkan.

“Banyak cadangan dan rasa ketidakpuasan hati pihak kontraktor melalui persatuan ini telah dipandang sepi malah langsung tidak diendahkan oleh pengurusan TM.

“Pihak kontraktor merasakan mereka seolah-olah ditindas ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan berbaur ugutan oleh pihak TM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Zakaria berkata, PKTM masih mengambil sikap bertoleransi bagi menghomati TM sebagai rakan di dalam perniagaan berkenaan.

Tegasnya, pihak persatuan telah berusaha untuk membincangkan berbagai-bagai isu yang dihadapi oleh ahli persatuan dengan pengurusan atasan TM termasuk menghantar email kepada CEO TM pada 31 Mac 2022 bagi memohon untuk diadakan perbincangan.

Tetapi, pihak persatuan langsung tidak mendapat apa-apa maklum balas.

“TM dilihat seolah-olah menganiaya kontraktor dengan memindahkan semua masalah pelaksanaan projek kepada kontraktor tetapi mengekalkan harga yang tidak munasabah seperti disebutkan,” katanya.

Zakaria mendakwa, tindakan berkenaan dilihat sebagai keterlaluan dan cubaan untuk mufliskan usahawan yang terlibat.

Justeru, PKTM dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak kerajaan membantu kontraktor dan usahawan Bumiputera di TM yang semakin terhimpit.

Katanya, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, TM tidak seharusnya memberi tumpuan untuk menjana keuntungan semata-mata.

“TM patut menjadikan kejayaan pembangunan usahawan di organisasi mereka sebagai sebahagian daripada KPI mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button