Berita Utama

Umat Islam perlu bangkit tentang penghinaan terhadap Nabi

Bukti perpaduan umat Islam selain wujudkan rasa gerun kepada yang berniat hina Islam

BANGI, 10 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Umat Islam di negara ini perlu bangkit dengan solidariti bagi menentang sebarang bentuk penghinaan terhadap junjungan Nabi Muhammad ﷺ.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan itu penting bagi menunjukkan perpaduan dalam kalangan umat Islam sendiri selain mewujudkan rasa gerun kepada yang berniat untuk menghina Islam di masa akan datang.

“Sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ dianggap sebagai perbuatan ekstrem dan melampau yang tidak boleh diterima.

“Nabi Muhammad ﷺ juga tidak pernah mengajar orang Islam menghina agama lain,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pihaknya tidak bertindak tegas dalam isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

“Menteri Agama terlebih dahulu telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu berkenaan selain turut menegaskan bahawa pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan turut bersama-sama menyatakan solidariti.

“Alhamdulillah kita dapat melihat umat Islam amat peka berkait dengan isu ini,” katanya.

Sebelum ini,Malaysia bersama Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara-negara Islam lain mengutuk ucapan biadab dua ahli politik kanan BJP – parti pemerintah India – Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal terhadap Rasulullah ﷺ.

Kenyataan dua individu itu telah mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Asia Barat, selain dikutuk hebat oleh pelbagai negara sehingga Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button