Berita UtamaIstimewa

ISMA saran umat Islam tak sertai Festival Bon Odori

Sepakat tolak perayaan, ideologi bercanggah akidah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Umat Islam dinasihat tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai depan sekiranya tiada sebarang keperluan.

Ini kerana, ramai agamawan bersepakat bahawa Bon Odori bukan perayaan kebudayaan tetapi berkait dengan unsur kepercayaan dan pemujaan yang boleh merosakkan akidah.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, tidak keterlaluan jika berpandangan agar pihak berkuasa menolak sahaja permohonan untuk mengadakan sebarang program yang bercanggah dengan pengamalan dan budaya Islam di Malaysia.

“Kalau kita lihat lebih jauh lagi benda-benda baharu yang muncul satu persatu dalam negara kita ini sebenarnya menunjukkan di sana ada usaha kuat untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang menerima kepelbagaian beragama.

“Bukan setakat itu sahaja, apa yang akan berlaku ialah negara kita akan hilang identitinya yang asal iaitu sebuah negara yang beridentitikan Islam dan Melayu sebagai teras kebudayaan dan peradabannya.

“Sekurang-kurangnya sambutan pemujaan Bon Odori ini jika diiktiraf sebagai acara perayaan tahunan, masyarakat akhirnya akan ternomalisasi dan menganggap ianya sesuatu yang boleh diterima dan diraikan. Boleh berseronok dengan pesta yang akan diadakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan akan muncul lagi satu persatu perayaan demi perayaan baharu yang bertentangan dengan fahaman Islam dan masyarakat dipaksa untuk terima dan menjadi normal.

“Justeru, umat Islam dalam hal ini harus sepakat bahawa perayaan merosakkan akidah seperti Bon Odori ini harus ditolak dan tidak turut sertainya.

“Bahkan apa-apa juga bentuk perayaan atau ideologi yang bercanggah dengan akidah Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme agama harus sepakat ditolak,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2022/06/09/pelik-kenapa-perlu-terhegeh-hegeh-sambut-bon-odori/
https://ismaweb.net/2022/06/08/bon-odori-tarik-balik-poster-papar-imej-wanita-bertudung/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button