Berita UtamaDunia

Pakistan desak PBB ambil serius ucapan biadab dua ahli politik India

Provokasi jejaskan sentimen berbilion umat Islam seluruh dunia

ISLAMABAD, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Pakistan pada Jumaat menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil perhatian terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah India, baru-baru ini.

Menteri Luar, Bilawal Bhutto Zardari menghubungi Presiden Perhimpunan Agung PBB Abdulla Shahid melalui telefon dan memaklumkan mengenai kenyataan yang menghina Nabi Muhammad SAW yang dibuat pegawai BJP itu, lapor Agensi Anadolu.

“Provokasi yang disengajakan itu telah menjejaskan sentimen berbilion-bilion umat Islam di seluruh dunia, Menteri Luar menggesa (presiden Perhimpunan Agung PBB) untuk mengambil perhatian terhadap perbuatan terkutuk itu di tengah-tengah peningkatan ucapan kebencian dan Islamofobia di India,” menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

Beliau berharap forum PBB akan digunakan untuk “perdebatan yang konstruktif dalam kalangan negara anggota, dengan tujuan untuk menangani isu itu yang telah menyebabkan perasaan tersinggung dan kebencian dalam kalangan umat Islam.”

Minggu lalu, jurucakap kerajaan BJP India Nupur Sharma dan Ketua Media parti itu di Delhi Naveen Kumar Jindal membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW, mencetuskan gelombang kecaman di seluruh negara dan dunia Islam.

Pada Ahad, BJP telah bertindak menggantung keahlian Sharma dan memecat Jindal daripada parti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button