Berita UtamaDunia

Penduduk negara haram Israel dibenar tonton Piala Dunia 2022 di Qatar

Langkah itu buka ‘pintu baharu’ hubungan diplomatik dengan Doha

DOHA, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Penduduk negara haram Israel akan dibenarkan pergi ke Qatar untuk menonton perlawanan Piala Dunia 2022 walaupun tiada hubungan diplomatik antara Doha dan Tel Aviv.

Kementerian Pertahanan, Luar dan Sukan rejim Israel dalam satu kenyataan bersama berkata, Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan rakyat Israel boleh memasuki Qatar ketika Piala Dunia untuk menonton perlawanan.

Katanya, langkah itu akan membuka ‘pintu baharu’ bagi hubungan diplomatik dengan Doha.

Menurut kenyataan itu, pegawai Israel mencapai persetujuan dengan FIFA selepas berbulan-bulan berbincang dan ‘berusaha,’ walaupun pasukan Israel gagal melayakkan diri ke kejuaraan.

Menteri Luar Israel, Yair Lapid berkata di Twitter bahawa perkembangan itu adalah ‘pencapaian diplomatik’ yang membuka pintu kepada ‘hubungan mesra baharu.’

Israel akan menghubungi Qatar untuk mengatur penerbangan terus menghubungkan Tel Aviv dan Doha.

Perkembangan itu berlaku ketika semakin ramai atlet di seluruh dunia Islam menjauhi atlet Israel sebagai protes terhadap kekejaman rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin dan pendudukannya di tanah air mereka.

Rakyat Palestin mengecam sebarang langkah ke arah menormalkan hubungan dengan Israel kerana menganggap pengkhianatan terhadap perjuangan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button