Berita Utama

30 peratus anggota di 4 balai, 1 bahagian IPD ada masalah integriti serius

Dalam proses pemutihan, kenal pasti anggota ada kes tatatertib

JOHOR BAHRU, 2 Jamadilawal 1442H, Khamis – Lebih 30 peratus anggota di empat buah balai polis dan satu bahagian di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Johor, dikenal pasti mempunyai masalah rekod integriti lampau yang serius.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia adalah hasil kajian dan semakan yang dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Johor, terhadap kesemua balai polis dan setiap bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah, di seluruh kontinjen.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang melakukan proses pemutihan, bagi mengenal pasti anggota dan pegawai yang mempunyai masalah tatatertib.

Menurutnya, jumlah keseluruhan keanggotaan di balai dan cawangan yang dikenal pasti bermasalah itu adalah seramai 263 orang pegawai dan anggota, yang mana 91 daripadanya mempunyai rekod tatatertib.

“Masalah rekod integiriti lampau yang serius ini, berpotensi untuk menjadi satu masalah kepada balai dan cawangan berkenaan.

“Kalau perlu kita akan dedahkan (empat balai dan satu bahagian IPD) ini, tetapi yang penting tindakan diambil, tidak perlu lagi berselindung, keadaan semakin serius dan saya tidak akan bertolak ansur,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesemua anggota terbabit akan menjalani Program My Liabiliti, yang melibatkan sesi kaunseling dan runding cara oleh bahagian agama dan kaunseling (BAKA) Johor, yang mana ia perlu dilakukan kerana dikhuatiri akan melakukan kesalahan berulang dan sekiranya perlu mereka juga akan ditukarkan.

Dalam masa sama, beliau berkata, bermula awal Januari sehingga kini, JIPS Johor telah membuka sebanyak 230 kertas siasatan tatatertib (KST), melibatkan 32 pegawai kanan, 246 pegawai rendah polis dan dua pegawai awam, yang mana kes salah laku merupakan yang tertinggi iaitu 154 kes, diikuti 46 kes dadah dan tatatertib.

Menurutnya, tindakan akan diambil tanpa tolak ansur, memandangkan terdapat banyak kes melibatkan anggota yang mempunyai kes tatatertib, iaitu sehingga 18 kes tatatertib tetapi tidak dikenakan tindakan buang kerja.

Ayob Khan berkata, JIPS juga telah membuka 161 kertas pertanyaan tatatertib, membabitkan 78 pegawai kanan dan 152 anggota pangkat rendah berkaitan tomahan dan surat layang.

“Hasil siasatan, 32 pegawai dan anggota telah diambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan 37 (dengan tindakan buang kerja atau turun pangkat), 162 pegawai dan anggota di bawah Peraturan 36 (tindakan bukan tujuan buang kerja atau turun pangkat) serta 37 pegawai dan anggota di bawah Peraturan 33 (sabitan mahkamah).

“Sehingga kini, 45 pegawai kanan dan anggota juga telah ditahan kerja, 14 digantung kerja dan 46 dibuang kerja melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan salah laku, yang mana Johor paling tinggi pada tahun ini libat kes dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini sahaja sebanyak 54 tangkapan ke atas anggota juga telah dibuat setelah menjalani ujian saringan air kencing secara mengejut, selain penahanan masing-masing seorang anggota bagi kes curi kenderaan, melindungi warga asing, pemilikan daun ketum dan dua anggota terlibat kes pemerasan orang awam.

Ayob Khan berkata, JIPS Johor juga mengesan 22 pegawai dan anggota mempunyai rekod lampau jenayah termasuk orang dikehendaki sebelum memasuki perkhidmatan kepolisan, yang mana mereka ini didapati sedang berkhidmat dan akan diambil tindakan.

“JIPS juga dalam masa sama telah semak latar belakang semua 829 anggota sukarelawan polis, dan mendapati dua pegawai dan 42 anggota ada rekod jenayah dan ada dalam kalangan mereka telah disabitkan kesalahan di mahkamah. Mereka ini masih berkhidmat di balai polis dan akan disyorkan tamat perkhidmatan,” kata beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button