Berita Utama

Rakyat bimbang hidup tak tenteram jika hukuman mati mandatori dimansuh

Khuatir makin ramai pengedar dadah, pemandu mabuk ‘buat hal’ selepas ini: Netizen

BANGI, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Tindakan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah, menimbulkan pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Rata-rata mereka menyifatkan undang-undang di Malaysia saban hari semakin mendukacitakan dan menyedihkan. 

“Semakin hari semakin teruk,” kata Apai Meera Joanna.

Pengguna Facebook, Shali Ahmad pula mempersoalkan mengapa hukuman berat sedemikian mudah diubah-ubah dan bercelaru.

“Pulak dah, dulu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dihapuskan, kemudian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) nak dibatal juga. 

“Kini hukuman mati mandatori dah diringankan kenapa mudah diubah-ubah. Sekarang ni nampaknya dah bercelaru,” katanya.

Sementara itu, Abas Basiron meluahkan kebimbangan sekiranya keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori akan mengakibatkan pengedar dadah berleluasa.

“Kalau hukuman mati mandatori dimansuhkan, nampaknya bertambah ramai pengedar dadah dan pembunuhan

“Diharap pihak berkuasa meneliti undang-undang tersebut sebelum memansuhkannya,” katanya.

Berkongsi nada yang sama, Siti Fatimah Solehah AS berkata, waima dengan kewujudan hukuman mati pun orang tidak takut untuk mengedar dadah, apatah lagi jika ia dimansuhkan selepas ini.

“Jika ditarik hukuman mati lagilah jenayah makin teruk. Maka semakin banyak penagih dan secara tak langsung kes rompakan, ragut, pecah rumah semakin banyak.

“Dan yang paling menakutkan adalah kes bunuh kerana dadah. Keluarga pun kena bunuh sebab dadah. Apatah lagi orang awam. Lagi tak tenteram Malaysia ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook turut kesal dan khuatir jika perkara ini akan menyebabkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk terus meningkat tanpa keadilan setimpal kepada mangsa.

“Maka ramailah pemandu mabuk buat hal selepas ni,” katanya.

Hukuman mati mandatori dimansuh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button