Berita Utama

Segelintir besar rakyat masih terkesan kenaikan harga barang

Cabaran utama ialah soal masalah aliran wang tunai

SENAI, 11 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan melihat kepada syor atau cadangan yang boleh dibentangkan kepada kerajaan bagi mengatasi inflasi dan kenaikan kos sara hidup rakyat pada Mesyuarat MPN akan datang, bulan ini.

Pengerusi MPN,  Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun negara melalui proses pemulihan selepas pandemik, namun masih lagi terdapat segelintir besar rakyat terkesan dengan masalah kenaikan harga barang yang menyebabkan inflasi.

“Pastinya saya sendiri sebagai pengerusi akan menekankan perkara-perkara itu (syor dan cadangan).  Itu kalau nak ambil tindakan susulan daripada MPN, kita tubuhkan beberapa pasukan petugas bagi melihat, pasal kadar pemulihan sektor ni berbeza-beza. 

“Ada yang dah mula bergerak, ada yang susah. Antara cabaran utama ialah soal masalah aliran wang tunai…masalah kewangan atau masalah kewangan perbankan,” kata beliau sambil menambah antara isu lain yang menjadi kebimbangan termasuk logistik, tenaga kerja dan lain-lain lagi.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Bersatu Negeri Johor di Taman Scientex Utama, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada MPN akan membincangkan syor atau cadangan pada Mesyuarat MPN akan datang yang kini bermesyuarat dua minggu sekali.

Sementara itu,  Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, satu persidangan akan dianjurkan oleh MPN di peringkat kebangsaan tahun ini bagi membincangkan isu-isu berkenaan dengan menjemput tokoh-tokoh dan pakar-pakar tertentu bagi memberikan pandangan mereka.

Beliau berkata persidangan itu akan dikendalikan Sekretariat MPN yang kini diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Dalam perkara berkaitan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan projek pertanian menggunakan teknologi hidroponik di Bachok, Kelantan, tidak lama lagi, bagi membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup tinggi.

“Saya akan lancarkan projek pertanian di Bachok, yang sudahpun bermula. Sambutan baik dan mungkin hasil daripada tanaman itu kita boleh bekalkan kepada rakyat kita yang agak miskin. Kalau boleh dibekal cara percuma, baik, kalau tidakpun dijual dengan harga murah, asal pulang modal sudahlah.

(Projek ini) bukan bertujuan untuk raih keuntungan. Ini sebagai langkah permulaan saya kira kalau ini sama-sama dapat didukung oleh penduduk untuk bersama-sama laksanakan, secara gotong royong pun kita alu-alukan tapi usaha ini akan dibuat oleh pemimpin PN dan Bersatu di seluruh negara,” kata beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button