Berita Utama

Kerajaan Malaysia patut buat bantahan tegas terhadap India

Dakwaan Hajarul Aswad hak asal penganut Hindu adalah keterlaluan

BANGI, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mendesak kerajaan membuat bantahan yang lebih tegas kepada India melalui kedutaannya di Malaysia, susulan beberapa siri tindakan provokatif melampau terhadap agama Islam.

Apatah lagi ketika umat Islam seluruh dunia mengutuk ucapan biadab dua ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) baru-baru ini, timbul pula kenyataan keterlaluan Ketua Ekstremis Hindu, Yati Narsinghanand yang mendakwa Hajarul Aswad – di salah satu bucu Kaabah di Masjidil Haram – asalnya adalah shiv ling kepunyaan penganut Hindu.

Tuduhan yang dibuat Yati Narsinghanand terperinci dengan mengatakan bahawa Dewi Tri Devi pernah disembah di tapak yang sama sebelum terbinanya Kaabah dan dia menuduh ‘ Nabi Muhammad memecahkan kuil itu, namun tidak memecahkan shiv ling’.

Dalam video berdurasi 0:50 itu, Yati Narsinghanand menjamin bahawa jika digali mana-mana masjid besar akan ada kuil di bawahnya kerana penganut Hindu mempunyai 360-365 berhala yang berbeza.

Atas dasar itu, Ketua Penerangan Perkasa Kedah, Azrol Mansor mendesak kerajaan untuk mengambil pendirian yang lebih tegas kerana menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai keterlaluan.

“Ini merupakan penghinaan terbesar kepada umat Islam seluruh negara Islam kerana telah mencemarkan Tanah Haram bagi umat Islam.

“Perkasa Kedah mendesak kerajaan Malaysia agar membuat satu bantahan yang lebih tegas kepada kerajaan India melalui kedutaannya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat jika ada dakwaan pemimpin politik negara ini yang mempunyai hubungan dengan pemerintah di India.

Ini kerana, sebelum ini ada pemimpin politik negara pernah mempertahankan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) – yang disenarai sebagai pengganas di Malaysia.

Katanya, Perkasa Kedah juga Perkasa Kedah mengikuti pergolakan yang sedang berlaku di India apabila parti pemerintah telah menindas umat Islam di sana dengan pelbagai serangan yang saban hari telah disusun-atur untuk mengancam umat Islam.

“Kerajaan harus menyatakan solidariti bersama negara-negara Islam yang lain untuk mengecam segala tindak-tanduk yang dibuat oleh puak-puak pelampau di India yang menindas umat Islam di sana.

“Kerajaan Malaysia harus menyekat apa saja hasutan atau fahaman yang dibawa dari India untuk terus masuk dalam negara kita,” katanya.

Jumaat lalu, sebanyak 140 badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India di ibu negara, berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button