Berita Utama

Mansuh hukuman mati tak beri kesan pada banduan akhir: Pakar

Syor akta, mekanisme khusus diwujud sebagai transisi hukuman gantian

BANGI, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tidak memberi kesan kepada banduan akhir, berikutan prinsip pindaan undang-undang hanya membabitkan perkara ke hadapan.

Justeru, pemansuhan berkenaan hanyalah membabitkan hukuman yang bakal dikenakan terhadap pesalah, kata Pakar Perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

“Ini bermaksud pemansuhan ini hanya melibatkan hukuman yang bakal dikenakan dan bukannya kepada pesalah yang telah dihukum, dituduh atau yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Namun, pesalah berkenaan berhak mendapat hukuman lain selepas Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja dan Yang Dipertua Negeri memberi pengampunan terhadap kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan negeri ma­sing-masing atas nasihat Lembaga Pengampunan seperti di­peruntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung keputusan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan berkenaan dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

Mengulas lanjut, Prof Nik Ahmad Kamal mencadangkan supaya akta dan mekanisme khusus diwujudkan sebagai transisi kepada hukuman gantian lain terhadap orang yang kena tuduh.

Perkara itu tegas beliau membabitkan 11 kesalahan hukuman mati mandatori kepada pesalah yang baharu dituduh atau sedang dibicarakan.

11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori antaranya Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh), Seksyen 121A Kanun Keseksaan (Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, raja atau Yang Dipertua Negeri) dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button