Berita UtamaDunia

Sri Lanka mungkin beli banyak bekalan minyak dari Russia

Hutang makin meningkat namun sedia terima bantuan dari China

COLOMBO, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Sri Lanka mungkin akan membeli lebih banyak bekalan minyak dari Russia ketika negara itu berdepan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri baharu, Ranil Wickremesinghe berkata, pihaknya akan cuba mencari sumber lain terlebih dahulu, namun terbuka untuk membeli lebih banyak minyak mentah dari Moscow.

Sebahagian besar negara-negara Barat kini telah menghentikan import ke atas Russia selaras dengan sekatan yang berlaku dalam perang dengan Ukraine.

Menerusi temubual terbaharu bersama AP, Wickremesinghe berkata, pihaknya bersedia menerima lebih banyak bantuan kewangan daripada China, walaupun hutang negaranya semakin meningkat.

Dia bahkan mengakui keadaan huru-hara di Sri Lanka kini adalah kesan ‘perbuatan sendiri’, selain daripada peperangan Russia-Ukraine yang memburukkan keadaan – menyebabkan kekurangan makanan yang diramal berlanjutan sehingga 2024.

Sri Lanka kini mempunyai hutang asing sebanyak AS$51bilion namun terpaksa menangguhkan bayaran semula hampir AS$7 bilion yang sepatutnya dilunaskan tahun ini.

Beban hutang yang banyak menyebabkan negara itu tidak mempunyai peruntukan untuk mengimport keperluan asas seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Kekurangan bekalan berkenaan menyebabkan rakyat berdepan gangguan bekalan elektrik, sekali gus memaksa penduduk menunggu beberapa hari untuk memasak.

Manakala, penduduk juga terpaksa beratur panjang sehingga beberapa kilometer bagi mendapatkan bekalan petrol. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button